Friday 20 March 2009

Nasib Penduduk Kampung Baru Plentong Tengah

Pada tanggal 15.03.09 kami ke Bukit Dagang, perumahan transit bagi menggantikan tanah mereka yang telah diambil oleh pemaju dan kerajaan Johor. Rumah mereka yang telah dirobohkan pada 31.12.08 meninggalkan kesan yang begitu mendalam dan mengakibatkan mereka kehilangan tempat berteduh serta menyebabkan mereka kembali ke zaman primitif ketika awal-awal membuka tanah dahulu.

Setibanya kami di pusat ibadat kaum cina di Sungai Tiram kami dijemput oleh Encik Kasim yang kebetulan ingin pulang ke rumah setelah mengambil bekalan makanan dari luar. Sepanjang perjalanan kami ke kawasan perumahan transit kami dapati jalan yang dilalui tidak berturap dan tidak terlihat sebatang pencawang tiang elektrik disitu. Kami mula mengeluh apabila jalan yang dilalui sangat jauh dari kawasan pekan dan sangat jauh dari perkampungan yang lain. Kanan dan kiri kami adalah hutan rimba paya bakau. Jambatan yang dibina sangat kecil dan amat berbahaya apabila musim hujan dan ketika waktu malam. Setelah hampir 20 minit masa berjalan kami tiba dikawasan penempatan yang telah dijanjikan. Amatlah memeranjatkan apabila kami melihat tiada sebarang bentuk pembangunan yang dijanjikan dan hanya yang kelihatan adalah beberapa pondok kecil yang dibina tidak berpenghuni. Tanah yang gondol dan tiada pokok besar yang tumbuh umpama padang jarak padang tekukur membuatkan kami rasa hiba dan sedih tidak terkata. Tanah merah yang meliputi kawasan menimbulkan pelbagai persoalan di kepala kami. Adakah ini yang dijanjikan? Seperti cakap tidak serupa bikin.

Setelah melihat keadaan sekeliling, kami dapat menggambarkan disini adalah, mereka mendapat kembali hidup 24 tahun dahulu dimana mereka harus membina rumah mereka sendiri dengan modal dan keredat mereka untuk survive dan terus hidup di bumi ini. Kami telah menemui 4 orang bekas penduduk Kampung Baru Plentong Tengah. Antaranya Encik Kasim, Encik Taslim, Encik Isa, dan Encik Haji Sameon.

Encik Taslim yang telah berkeluarga dan mempunyai 7 orang anak telah pun berpindah ke Bukit Dagang dan telah membina rumah yang ala kadar dan sebra kekurangan. Modal RM12k telah dikeluarkan untuk menambak tanah tersebut bagi memastikan tanah tersebut selamat diduduki. Kami turut melihat kepayahan yang dialami mereka dan pahit ranjau kehidupan yang mana mereka harus menempuh rintangan yang telah dihadapi 24 tahun lalu. Oleh kerana kawasan yang mereka duduki kini iaitu Bukit Dagang yang jauh dari perhubungan dan komunikasi luar, memang terdedah dengan bahaya dan risiko. Ini kerana tanah yang mereka duduki kini dikelilingi hutan. Hutan paya bakau tebal dibahagian hadapan dan kebun kelapa sawit dibahagian belakang mereka. Hutan biasanya sinonim dengan haiwan dan binatang buas yang mana akan mengancam hidup penduduk di kawasan itu kerana haiwan ini akan bertindak liar apabila ada faktor luaran yang mengganggu habitat mereka. Daripada interview yang telah kami lakukan bersama Encik Taslim, keluhan jelas tergambar apabila dia mendapati seekor ular tedung sela yang panjangnya 1 depa dan besarnya sebesar gelungan jari sebelah tangan manusia yang datang dan menginap seketika di tempat mereka mandi berjaya ditangkap menggunakan tangan beliau. Antara kekesalan lain yang diceritakan adalah tentang kemudahan asas seperti jalan raya yang sempurna dan belakan elektrik serta bekalan air yang bersih. Alternatif lain yang digunakan sebagai usaha untuk menerangi kegepalan malam adalah dengan menggunakan bateri kereta yang mereka gunakan 3 hari dan akan dicas selama sehari. Sebagai sumber air bersih, beliau menakung air hujan untuk minum dan untuk mandi mereka telah membuat tempat mandi yang sekadar dapat menutupi mereka apabila mandi. Dengan menggunakan zink sebagai atap dan daun pelepah kelapa sawit sebagai dinding dan bertiang kayu usang itulah tempat mandi mereka. Risiko untuk mandi bersama ular tedung sela lagi adalah berperatusan tinggi. Bermodalkan kayu lama dan kederat gotong royong ahli keluarga dan teman-teman sekampung dapatlah beliau menyiapkan syurga bagi sekeluarga berlindung. Rumah yang dibina sangat sederhana amat menyayat hati kami apabila melihatnya. Mereka telah menduduki rumah itu lebih kurang 2 bulan. Kepayahan dan rintangan hidup berkeluarga amat berat dirasai oleh Encik Taslim dimana anak mereka yang masih bersekolah terpaksa dihantar dan diambil selepas bersekolah yang mana sekolah mereka jauh dari kawasan yang mereka tinggal. Kadangkala apabila hari hujan dan jambatan dilimpahi air sungai mereka terpaksa ponteng sekolah dan tidak mendapat edukasi untuk hari tersebut. Apabila petang anak-anak ini akan bermain disekitar rumah dan bergembira bersama ahli keluarga kerana ketiadaan teman-teman kecil yang lain.

Bagi keluarga Encik Kasim pula, mereka baru sahaja menduduki kawasan itu pada hari kami berkunjung ke Bukit Dagang. Generator yang dipinjamkan oleh sahabat beliau digunakan sebagai alat untuk menjana tenaga elektrik dan air hujan sebagai punca bekalan air bersih. Perigi yang digali tidak berhasil kerana air yang keluar mempunyai rasa yang payau dan bau yang aneh menyebabkan Encik Kasim menggunakan air hujan sebagai punca air bersih. Rumah yang dibina sekadar berbumbung dan tapak tanah rumah mereka tidak bersimen dan hanya ditutupi dengan tikar getah terpakai. Alangkah terkejutnya kami apabila beliau berkata begitu setelah di interview oleh kami. Keluhan yang sama terpancar dari beliau dan kata-kata kesal turut mengekori kesusahan yang mereka alami sepanjang berada di Bukit Dagang.

Encik Isa yang kami temui ketika kami tiba di Bukit Dagang tidak sempat kami interview oleh kerana beliau mahu pulang ke rumah yang berada di blok 1 dan agak berjauhan dengan kawasan perumahan yang telah diterokai oleh keluarga Encik Kasim dan Encik Taslim, dan Encik Haji Sameon. Beliau adalah orang pertama yang membuka tanah di Bukit Dagang sebelum keluarga Encik Kasim dan Encik Taslim masuk ke kawasan Bukit Dagang.

Encik Haji Sameon yang kami temui di Bukit Dagang, ketika itu beliau sedang sibuk menyiapkan rumah yang agak sempurna. Berkat bantuan wang simpanan dan pencen beliau serta bantuan yang telah dihulurkan dari ahli keluarga yang lain dapatlah beliau menyiapkan rumah kecil yang agak selesa bagi keluarga yang kecil. Kata-kata kesal turut diluahkan oleh beliau yang bercadang untuk duduk dirumah tersebut hujung bulan ini. Beliau yang merupakan Pengerusi JKK Kampung Baru Plentong Tengah menyeru agar kemudahan infrastuktur dan kemudahan asas disegerakan di Bukit Dagang sejajar dengan perjanjian yang telah dibuat oleh pemaju.

Setelah seharian kami di sana, kami pulang pada jam 10 malam. Jalan keluar yang tidak berlampu dan keadaan jalan tanah merah yang tidak sempurna dan berlubang amat mencabar dan menguji kesabaran kami, Rakaman yang telah kami buat akan kami paparkan di You Tube dan kalian boleh mendengar keluhan hati mereka dan mendapat sedikit info tentang kawasan yang dijanjikan oleh pemaju durjana tersebut. Apa yang dapat kami katakana adalah, bagi pihak yang berkenaan seperti SAJ, TNB, JKR dan semua badan-badan berkaitan segerakan kemudahan asas begi meringankan beban mereka. Jangan terus lalai dan membiarkan hidup keluarga terbabit berada dalam kepayahan dan kesusahan. Kepada pemaju, kotakan janji yang telah dijanjikan dan laksanakan segala apa yang sepatutnya untuk mereka.

Hancur-hancur, KEZALIMAN!
Hancur-hancur KEKEJAMAN!
Hancur-hancur PENINDASAN!
LAWAN TETAP LAWAN!

Solidariti Kampung Baru Bukit Dagang!